Friday, February 22, 2013

DUN BELANTIK











SIK 18 Feb. - Seorang penduduk Kampung Belantik, Ramli Ismail, 42, terpaksa tidur dalam sebuah bangsal buruk dikelilingi hutan di kampung itu sejak tiga tahun lalu.
Dia yang tidak mempunyai kerja tetap mengambil upah menebas hutan di kawasan kebun getah milik penduduk dengan berpendapatan kira-kira RM400 sebulan.
"Saya hanya mampu buat bangsal berdindingkan plastik untuk berteduh. Pagi keluar bekerja dan bila malam balik tidur dalam bangsal," katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, jika mahu mandi-manda, dia perlu ke sungai terletak berhampiran rumahnya.
Katanya, dia memang rasa takut apabila tidur dalam bangsal yang dibina di atas tanah peninggalan arwah neneknya, Halijah Ismail, namun tidak mampu berbuat apa-apa.
"Keluarga sendiri pun tidak dapat membantu kerana mereka juga bukan dalam kalangan orang senang. Bagi mengelak timbul prasangka buruk, lebih baik saya tinggal sendirian dalam bangsal begini," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kerabat Diraja Kedah (KERABAT), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahaya semasa membuat tinjauan di situ berkata, beliau begitu sedih apabila lihat Ramli terpaksa tidur setiap malam dalam sebuah bangsal.
Sehubungan itu, beliau meminta agensi kerajaan yang bertanggungjawab segera menghulurkan bantuan kepada Ramli.

No comments: