10,000 hadir ceramah ‘Kuning Kuning, Najib Pening’
KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 hadir ceramah ‘Kuning Kuning, Najib Pening’ di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Markaz Tarbiyah Pas Pusat, Taman Melewar, Gombak malam tadi.Seperti pesta, dengan puluhan kedai menjual pelbagai aksesori dan pakaian bertema ‘Bersih 3.0 Duduk Bantah’ selain kedai ‘sup ceramah’ dipenuhi ribuan hadirin hingga tidak cukup tempat duduk.
Sambutan luar jangka menyebabkan penganjur terpaksa menyediakan layar besar di luar dewan berikutan dewan utama tidak dapat menampung hadirin yang ramai.
Kaum ibu, anak muda dan mahasiswa bersahut-sahutan melaung slogan ‘Hidup Rakyat’ dan ‘Bersih Pilihan Raya.
Antara tamu jemputan dan pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.
“Dalam dunia ini tidak ada pilihan raya yang bebas dan adil selagi media tidak dibebaskan. Kalau pilihan raya dijalankan begini, jelaslah Malaysia bukan negara demokratik,” kata Kadir yang juga bekas Menteri Penerangan.
Hadirin turut ‘dibakar’ dengan bacaan sajak pernuh bersemangat oleh penyair Johor, Amni Jagat berjudul ‘Tanah, maruah rakyat’.
Amni turut mengingatkan hadirin untuk memberi sokongan pada ‘Himpunan Tanah’ yang dianjur di Plaza Angsana, Johor Bahru, 5 Mei ini.
Meskipun dalam suasana tidak selesa – sebahagian besar hadirin melimpah ke luar Dewan dan bersila di lantai, mereka tekun mendengar amanat pimpinan.
“Esok kita turun ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan kepada kerajaan bahawa rakyat tegas menuntut pilihan raya yang bebas dan adil,” kata Tian Chua.
Speaker terakhir, Mohamad Sabu berkata selagi pilihan raya tidak bersih dan tidak adil, tiada harapan untuk melihat rakyat yang tertindas dapat dibebaskan.
“Kehadiran kita dalam himpunan Bersih 3.0 adalah bukti rasa cinta rakyat kepada negara,” tegasnya disambut laungan takbir. -KD
1 comment:
Tak apa kakak join yg 5hb ini di Plaza Angsana kelak...
Post a Comment