Dipetik dari Persidangan Kebangsaan Shahnon Ahmad pada 10-11 Oktober ,12 di USM
Alam, Masyarakat dan Introspeksi Diri Sasterawan Melayu
Banggul Derdap, Sik, Kedah pada tahun 1933 hanyalah sebuah desa kecil dan masih terpencil daripada arus pembangunan negara, sebuah perkampungan sawah padi yang masih kuat mengikat hubungan akrab antara penghuni, alam dan pencipta-Nya. Pada tahun 1933 itu, Banggul Derdap menyaksikan kelahiran seorang insan yang bernama Shahnon Ahmad, yang sejak kecilnya cukup mesra dengan kehidupan sawah dan masyarakat persekitarannya. Shahnon Ahmad membesar dengan ilham, mengumpul ilmu di sini sana, menumpahkannya kembali ke dalam Ranjau Sepanjang Jalan (1966), Tunggul-Tunggul Gerigis (1988) dan puluhan karya yang lainnya. Ilham dan pena menjadi sebati dalam kehidupan Shahnon Ahmad, memuji dan membidas mana yang patut, melentur dan memecah kebisuan, menggubah landskap berfikir masyarakat tentang kemanusiaan, kebahagiaan dan keabdian. Anak kelahiran Banggul Derdap ini adalah Sasterawan Negara yang ketiga (1982) bagi Negara Malaysia.
Nama Shahnon Ahmad cukup besar dalam sejarah kesusasteraan negara sama ada sebagai seorang pengarang novel dan cerpen mahu pun sebagai sarjana dalam bidang pengajian Melayu. Ketokohan Shahnon Ahmad sering diingati melalui pemikiran-pemikirannya yang tajam dalam mengupas isu-isu masyarakat dalam kepelbagaian bidangnya, ada yang sampai mencetuskan polemik, perdebatan dan kontroversi pemikiran yang berpanjangan. Persepsi Shahnon Ahmad terhadap kepimpinan dan pergelutan kuasa politik Melayu begitu terserlah dalam Rentong (1965),Terdedah (1965) dan Menteri (1967). Masyarakat juga masih ingat dengan polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad - Kassim Ahmad, debat seksual dalam novel Tok Guru (1988) dan Ummi & Abang Syeikhul (1992) serta kontroversi novel perlambangan politik Shit yang pernah muncul suatu masa dahulu.
Shahnon Ahmad masih lagi berkarya dan menghasilkan novel, cerpen dan penulisan kritis yang mengupas isu-isu semasa, dunia kontemporari, dengan kekuatan daya renung dan bahasanya yang memukau. Lamunan Puitis (2003), Mahabbah (2007) dan Durian Hujung Julai (2009) adalah sebahagian daripada minda kepengarangan mutakhir Shahnon Ahmad yang terus memberi nafas baru kepada daya saing dan keunggulan kesusasteraan Melayu. Dalam karya-karyanya, Shahnon Ahmad sering mengajak pembaca merenung kebesaran ciptaan Tuhan dalam makna yang luas, dan dalam masa yang sama memberikan kritikan-kritikan yang keras membara kepada sesiapa yang cuba menyanggah atau mengubah ketentuan-Nya. “Sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia” demikian Shahnon Ahmad merencanakan dalam Kesusasteraan dan Etika Islam (1981).
Setelah puluhan tahun mengabdikan diri dalam dunia kesusasteraan tanah air, pelbagai sumbangan besar telah dicurahkan kepada masyarakat dan negara, membentuk asas kukuh kepada kelangsungan kesusasteraan tanah air sehingga ke hari ini. Ada karya yang telah dipentaskan, ada pula yang telah difilemkan untuk dihayati dalam bentuk media yang baharu. Ada karya yang telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia.
Kini, sudah sampai masanya pula bagi masyarakat merenung dan menilai kembali sejarah dan sumbangan yang telah ditinggalkan oleh Shahnon Ahmad, sebuah warisan pengarang intelektual Melayu, menyinar dari bahang kemelut sawah padi para petani sehingga ke persoalan-persoalan politik, sosio-ekonomi negara dan ummah sejagat, mengalur ke seluruh tanah air dan juga ke pentas antarabangsa, dan akhirnya kembali menyusun ke akar diri dan peradaban budaya bangsa, agama dan negara.
No comments:
Post a Comment