Anwar mampu selamatkan Najib daripada digulingkan Dr Mahathir
Amin Iskandar
Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar.
Amin Iskandar
Published: 21 December 2014
Tidak kelihatan tanda-tanda Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghentikan serangannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Lihat sahaja hulubalang-hulubalang Dr Mahathir seperti Tun Daim Zainuddin, Datuk Ibrahim Ali, Datuk A Kadir Jasin dan Tan Sri Zainuddin Maidin, semuanya semakin agresif menyerang presiden Umno itu.
Terbaru bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang menggunakan platform Perkasa menggesa Najib agar berhenti menipu rakyat.
Walaupun serangan daripada Umno masih di tahap "benih", tidak mustahil ia akan berakar dan menyebabkan Najib tersingkir.
Pada masa sama hanya dua tiga kerat pemimpin tertinggi Umno yang berani mempertahankan Najib secara terbuka.
Yang lain semuanya mengambil sikap "tunggu dan lihat."
Keadaan Najib kini sama seperti ketika bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi diserang Dr Mahathir dahulu.
Melihat kepada sejarah Dr Mahathir, beliau tidak akan berhenti selagi objektifnya tidak tercapai.
Dan objektif Dr Mahathir pada ketika ini adalah Najib perlu berundur sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.
Bantuan Anwar
Sekiranya mahkamah membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan, Dr Mahathir akan bertambah marah kepada Najib.
Bagi yang memahami politik antarabangsa, kenyataan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden baru-baru ini agar Malaysia membuktikan ketelusan sistem kehakiman dan perundangan melalui kes Anwar merupakan isyarat jelas ketua umum PKR itu akan dibebaskan.
Apatah lagi pentadbiran Najib mengambil pendirian untuk bernaung di bawah kekuasaan AS.
Jangan kita lupa Presiden Barack Obama sendiri sudah datang Malaysia baru-baru ini. Tidak mungkin Najib akan mengecewakan Obama.
Tulisan Biden di Twitter tentang Akta Hasutan di Malaysia dan kes Anwar tidak akan dilakukan tanpa restu presiden kulit hitam pertama AS itu.
Sekiranya Anwar bebas, beliau sudah tentu akan terhutang budi dengan Najib.
Dan Anwar merupakan satu-satunya musuh yang masih gagal "dibunuh" secara politik oleh Dr Mahathir dan mampu bertarung dengan bekas mentornya itu.
Jika Najib berani bekerjasama dengan Anwar, bekas timbalan perdana menteri itu merupakan benteng terbaiknya daripada serangan Dr Mahathir.
Anwar juga pada ketika ini tidak boleh lagi mengharapkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai kenderaan politiknya untuk menawan Putrajaya.
Perbalahan PAS dan DAP hanya menunggu masa sebelum mengulangi sejarah Barisan Alternatif pada 2001.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa pernah mendedahkan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang berusaha memancing parti Islam itu untuk bekerjasama.
Sebelum Muhyiddin berjaya mendapatkan PAS, lebih baik Najib dan Anwar hidupkan kembali Konsensus Nasional yang tergendala.
Lagipun, oleh kerana musuh utama kepada Najib kini adalah Dr Mahathir, Anwar harus berkawan dengannya. -- 21 Disember, 2014.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.