Alangkah seksanya hidup berjiran kerana jiran tidak bertegur sapa, bahkan curiga-mencurigai pula. Di tempat bekerja tidak seia sekata, hasad dengki jadi budaya. Prejudis satu sama lain, percaya-mempercayai hilang sesama manusia. Di dalam keluarga kasih sayang tiada, anak-anak dan isteri tidak mengikut kata. Suami sudah tidak ada wibawa, isteri tidak setia.
Hidup di dalam masyarakat nafsi-nafsi, susah tanggung sendiri. Bertemu hanya terpaksa, bukan dari hati kerana fikiran tidak selari. Tidak bergaul, tidak mungkin hidup sendiri-sendiri. Bergaul aduh sungguh terseksa, rasa bersama sudah tidak ada. Begitulah di dalam satu masyarakat manusia yang memburu dunia. Ukhwah tidak ada, Tuhan sudah dilupa, dunia adalah matlamat manusia.
Sungguh sepi hidup begini di dunia hari ini.Tidak ada ceria, tidak ada gembira, tidak ada mesra. Sepi di dalam ramai, berserabut fikiran di waktu bersendirian.Kecuali orang yang beriman, rasa bertuhan hidup di hatiTerasa ramai sekalipun keseorangan atau waktu bersendiri.
Rasa bertuhan yang menghidupkan hati itulah hiburan orang mukmin. Hatinya sentiasa tenang sekalipun di dalam kesusahan. Susah lahirnya, batinnya tenang. Begitulah hati orang mukmin, hiburannya di dalam hatinya .
No comments:
Post a Comment