Saturday, March 26, 2011

APA KATA JAMIL KHIR..............ASRI SUDAH CAKAP


Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.
Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.
Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini. Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini.
Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka. Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain.
Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik. Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri.
Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini. Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).

Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan. Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!

DIPETIK DARI TULISAN DR.ASRI

No comments: