Contohi Ustaz Azizan -Tuan Guru Salleh Musa
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my
SIK: Tokoh
ulama, Tuan Guru Salleh Musa menyeru ahli dan pimpinan PAS Kedah agar
mencontohi Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak
yang tidak pentingkan diri sendiri, sebaliknya sentiasa mengutamakan
keperluan-keperluan rakyat.
“Saya
pujilah Ustaz Azizan ni. Semua kita perlu ikut contoh macam Ustaz
Azizan, cukup elok. Jangan hendak tamak itu dan ini. Dia (Ustaz Azizan)
tidak pentingkan diri tetapi sentiasa utamakan keperluan-keperluan
rakyat,” ujarnya berucap pada Multaqa Daie Dan Aktivis Islam di Kompleks
PAS Kawasan Sik, 6 Januari baru-baru ini.
Ujarnya,
setiap pendokong PAS perlu mengenang segala nikmat diberikan Allah
terutamanya nikmat kemenangan yang diperolehi hari ini.
Jelas beliau, bersyukur dengan nikmat kemenangan adalah memanfaatkannya untuk menuju ke jalan keredaan Allah.
Nasihatnya,
ahli PAS perlu mengelak menjadikan kemenangan ini untuk mendapatkan
habuan kebendaan dan meminta-minta seperti mana Umno.
“Dasar
kita bukan cari benda. Allah jadikan kita untuk takwa, dengan takwa Dia
akan berikan rezeki yang kita tidak sangka-sangka. Maka, mesti ikhlas
dan ikhlas itulah pintu untuk mencapai matlamat,” terang beliau yang
juga Mudir Madrasah ar-Rahmaniah.
Para
pimpinan PAS juga tegurnya, perlu mengelak perasaan hasad dengki kerana
orang yang memiliki sifat itu tidak layak menjadi pemimpin.
Serunya,
ahli PAS mesti kekal teguh berpegang kepada tali Allah dan terus
bekerja kerana tidak ada lagi golongan yang dapat diharap untuk menyeru
kepada kebaikan melainkan PAS.
Tempelak beliau, Umno tidak boleh diharap untuk menjaga agama kerana agama pada diri pemimpin mereka sendiri dipertikaikan.
Oleh itu katanya, seluruh pendokong PAS perlu mempersiapkan diri dengan agama untuk menghadapi segala cabaran itu.
“Jangan
kuat kerja (politik) sahaja, kena ambil faham sama ilmu-ilmu aqidah.
Hari ini dah celaru macam-macam. Maka kitalah nak kena ambil tanggung
jawab ni,” ujarnya menyuntik semangat.
Multaqa
bertemakan “Menghadapi Cabaran Ummah Dan Persiapan PRU13” itu dihadiri
lebih 1,000 aktivis PAS Kedah dan diadakan sebagai kesinambungan Ijtimak
Tarbawi PRU13 di Taman Melewar bulan lalu.
1 comment:
Assalamualaikum Ayahanda
kalau berjuang untuk diri sendiri dan mengejar habuan dunia....macam puak2 tu juga la..
Post a Comment