Tuesday, November 15, 2011

SEJARAH ISTANA NEGARA






Sebuah banglo (pada asalnya) yang dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000, ia menjadi rumah kediaman seorang jutawan dari China iaitu Chan Wing.
Mendapat cetusan daripada kepakaran firma senibina terkenal, Swan & McLaren untuk mereka banglo berkenaan, ia diduduki oleh jutawan itu bersama keluarganya sehinggalah tercetus Perang Dunia Kedua, menurut majalah Tell.
Banglo yang kosong sebaik sahaja keluarga jutawan itu melarikan diri, telah digunakan sebagai mes Pegawai Tentera Jepun selama empat tahun pemerintahan mereka di Tanah Melayu bermula sejak tahun 1942 sehinggalah 1945.
Namun begitu, pemerintahan Jepun tidak bertahan lama. Sebaik sahaja Jepun tidak lagi berkuasa di Tanah Melayu, keluarga Chan Wing telah kembali pada 1946.
Bagaimanapun, mereka tidak menduduki banglo itu sebaliknya ia menjadi milik kepada British Malayan Administration (BMA) untuk digunakan sebagai mes pegawai kanan.
Kemudian, banglo itu bertukar milik apabila Kerajaan Negeri Selangor membelinya dan selepas diubahsuai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.
Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.
Bagi mengangkat martabat bangunan itu sebagai sebuah kediaman rasmi pemerintah tertinggi negara, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM328,000 untuk menjadikannya istana yang sesuai sebagai tempat bersemayam raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

No comments: