Srengenge nak muatkan tulisan anaknda Ibnu Sufi (IS) dalam blog ni............IS bekas pelajar Sek Men.Sik.....merupakan salah seorang orang gergasi yang merencanakan Malam Mengimbau Kenangan di Park Avenue 16 Disember yang baru berlalu..........
Srengenge bergambar bersama IS di lobby Park Avenue
Inilah nukilan IS (Ibnu Sufi) :
Sering
berlaku dalam hidup kita seharian ialah salah faham, kadang kala hingga
membawa pertelingkahan atau pergaduhan hanya kerana perkataan yang sama
dituturkan di sesuatu tempat namun membawa makna yang berbeza di tempat
lain.
Saya tidak mahu sentuh isu ‘kopek’ yang membawa satu
makna tertentu berkaitan wanita di Pantai Timur tetapi di tempat saya di
Kedah, kopek digunakan untuk menyimpan wang. Sebab itulah ketika
menonton filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah', walaupun berkali-kali
disebut oleh Pak Abu, “banyaknya kopek dia...” tatkala melihat
kemunculan hantu kopek, saya sendiri menyangka ianya tangan yang dikepal
atau penumbuk.
Itu sangkaan saya setelah puas saya mencari kopek duit (dompet) tidak ada dalam wayang itu.
Apa yang pernah berlaku ialah hal seorang pakcik dari tempat saya,
datang ke sebuah hospital di Kuala Lumpur untuk menziarahi anak
lelakinya yang kemalangan. Tiba di hospital itu, dia dan keluarganya
ditahan oleh pengawal yang memberitahu, itu bukan waktu melawat. Lalu
dijawab oleh si pakcik: “Aku bukan nak melawat, aku nak tengok anak aku
‘accident’!”
Ini kerana di tempat saya, melawat dikira
sebagai aktiviti santai, bersiar-siar atau yang seumpamanya. Sementara
menziarahi orang yang kemalangan atau sakit pula disebut sebagai tengok.
Tengok dalam konteks ini bukan sekadar melihat.
Bagi orang
luar yang menziarahi kematian di tempat saya, jangan pula menyangka kami
menganut ajaran sesat. Ini boleh berlaku seandainya mereka terdengar
perbualan atau soal jawab orang setempat mengenai “jenazah nak simpan
pukul berapa?”
Ini bukanlah pula bermakna orang di tempat
saya, di Mahang, Kedah itu tidak kebumikan jenazah sebaliknya hanya
‘menyimpan’ sebagaimana mayat Firaun di Mesir. ‘Simpan’ dalam makna yang
berkaitan dengan jenazah di kawasan itu ialah kebumi. Jadi, jangan
salah sangka kami bawa ajaran baru yang tidak kebumikan mayat seperti
orang Zoroastrian di Iran sebelum revolusi Islam dulu.
Di
tempat saya juga, air tidak disebut air, atau ‘ayaq’ sebagaimana dialek
orang Kedah lain. Air mengikut sebutan ‘lidah bonda’ (mother tongue)
saya bunyinya sama dengan menyebut huruf ‘A’.
Itulah sebutan
dalam dialek Melayu Pattani yang berasal dari Selatan Thailand manakala
di negara inu, wilayahnya meliputi beberapa daerah di pedalaman Kedah
dan Perak iaitu dari Padang Terap, Sik, Baling, sebahagian Pendang,
Kulim di Kedah. Di Perak pula, ia meliputi Pengkalan Hulu (Kroh), Grik,
Lenggong, Batu Kurau, Ulu Selama dan Bukit Gantang.
Ada pun
telah berlaku satu peristiwa seorang makcik ketika berjumpa doktor di
sebuah hospital, telah diminta oleh doktor berkenaan untuk menunggunya
di depan bilik A bagi pemeriksaan lanjut. Lalu makcik berkenaan pun,
yang tersalah faham akan arahan doktor itu, telah menunggu lama di depan
bilik air sehingga ditegur oleh jururawat: “Makcik buat apa kat sini?
Dari tadi saya tengok makcik di sini.”
Dijawab oleh makcik itu: “Doktor yang suruh aku tunggu di sini.”
“Doktor suruh tunggu di sini?” tercengang-cengang jururawat itu
bertanya semula. “Buat apa di suruh makcik tunggu di sini?” tanyanya
lagi.
“Manalah aku tahu, dia suruh tunggu, aku tunggu sajalah...”
Tahu dia tidak akan mendapat jawapan yang memuaskan, si jururawat lalu
bertanya sendiri kepada doktor. Seketika kemudian, dia datang semula
sambil menahan ketawa.
Katanya kepada makcik itu: “Makcik, doktor suruh makcik tunggu di depan bilik A, bukan bilik air.”
Inilah salah faham yang biasa berlaku, yang saban hari kita boleh temui.
Walau apa pun, jika ke Indonesia, jangan anggap ‘gampang’ perbedaan
seperti ini kerana kita yang serumpun sentiasa ‘membutuhi’ kerukunan
sesama tetangga.
3 comments:
ish.. ish.... ish......
Berasal dan masih tiggal tipantai timur, dan jarang sekali keutara, saya langsong tidak faham yang tempat simpang duit itu dipanggil Ko-. Kalau ditanya dimana ko- saya tentu saya terpinga pinga.
Selamat tahun baru N-S
pantat edisi utara dan patat edisi selatan pun sangat jauh beza maknanya.... so hati2 ya orang utara..
Post a Comment