
Seorang peguam yang pakar dalam perlembagaan hari ini menyokong agar semakan undang-undang yang membenarkan penahanan berterusan tanpa dibicarakan dilakukan segera.
Walaupun mengakui negara memerlukan undang-undang pencegahan bagi menangani ancaman keselamatan seperti kegiatan pengganas, Shad Saleem berkata undang-undang sedemikian perlu dikaji semula bagi mengekang kuasa mutlak menteri dan memastikan penggunaannya perlu diperketatkan. Cadangannya adalah supaya lembaga penasihat sekarang yang dipertanggungjawab menyemak semua keputusan menteri bagi penahanan tanpa bicara ditukar menjadi “lembaga keselamatan khas” dan sebarang keputusannya mesti dipatuhi oleh menteri. Buat masa ini lembaga penasihat hanya boleh memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sementara kerajaan boleh dan dalam beberapa kejadian sebelum ini telah bertindak tidak mengikut nasihat berkenaan.
Menurut Shad Saleem, lembaga keselamatan khas itu juga perlu mempunyai akses kepada maklumat berhubung sebarang penahanan yang sekarang dirahsiakan oleh kementerian dalam negeri. Katanya, situasi sekarang di mana pihak polis dan menteri bertindak dalam pelbagai peranan seperti penuduh, penyiasat dan juga pengadil adalah “tidak betul”.
No comments:
Post a Comment