Seorang lagi tokoh Umno hari ini tampil mencadangkan supaya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak berdialog dengan Gabungan Pilihan Raya bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bagi mengatasi kepincangan proses pilihanraya di negara ini.
Bekas Menteri Perlancongan Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir memberikan saranan itu selain menekankan perlunya Najib berhenti menyekat kebebasan bersuara dan sebaliknya memperbaiki imej kerajaan supaya dilihat sebagai pemerintah yang bertanggungjawab.
"Kalau kita mula mahu sorok dan sebagainya, maka rakyat akan berasa syak wasangka sebab amanah (sejak) Merdeka (dan) pada zaman Tun Razak (adalah) memberi kebebasan bersuara," kata beliau.
TV Selangor juga memetik tokoh veteran Umno itu yang mahukan kerajaan menilai secara positif sebarang pandangan yang dilontarkan oleh mana-mana pihak.
Kerajaan mengisytiharkan BERSIH 2.0 yang menggabungkan 62 pertubuhan bukan kerajaan sebagai gerakan haram pada awal bulan ini.
Ribuan orang menyertai perhimpuan 9 Julai lalu untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.
Abdul Kadir yang juga bekas Menteri Penerangan menggesa Najib supaya bergerak seiring dengan ketamadunan masyarakat yang berdaya saing dan intelektual, dan bukan menyekat hak rakyat untuk bersuara.
Beliau menjelaskan sekiranya kerajaan mampu membuktikan ia melaksanakan tanggungjawabnya dengan ikhlas, maka rakyat tidak akan mempunyai alasan untuk bangkit menyuarakan rasa tidak puas hatinya.
Abdul Kadir berkata demikian selepas majlis pelancaran "Angkatan Amanah Merdeka" (Amanah) pagi tadi.
No comments:
Post a Comment