Beetle ku 1200cc......just love it
Karakter tersendiri VolkswagenKereta klasik popular hadir dalam teknologi baru tapi masih kekalkan reka bentuk asal
Era 60-an dan 70-an lalu, kalau sebut saja kerete Volkswagen, pastinya merujuk kepada Beetle. Sejak diperkenalkan di negara ini pada 1955, Beetle mengisi ruang istimewa di hati setiap rakyat Malaysia.
Hingga ke hari ini, kereta itu masih lagi popular sekalipun pengeluarannya sudah lama dihentikan dan digantikan dengan pelbagai model baru lebih canggih oleh pengeluar kereta dari Jerman itu.
Siapa yang boleh lupa Bettle. Kelasakan dan keunikan bentuknya memukau setiap mata memandang, malah tatkala melihat kereta itu menyusuri jalan raya dengan bunyi unik daripada dua ekzos dan enjin di bahagian belakang, ramai teringatkan saudara mara atau guru sekolah ketika kecil dulu dengan Beetle masing-masing.
Memiliki Beetle menjadi kebanggaan pemiliknya dan walaupun dimakan usia, ia tetap asli dan tiada kereta sepopularnya hingga tercatat sebagai kereta paling laris jualannya di dunia dengan reka bentuk yang tidak berubah selama 57 tahun.
Pengeluaran asalnya di Wolfsburg, Jerman telah dihentikan pada 1974, namun ekoran permintaannya yang masih berterusan, pengeluaran Beetle beralih ke Brazil dan Mexico, sambil kilang Volkswagen di Jerman itu mula menumpu terhadap pembangunan model lain termasuk Passat yang dianggap model terpenting dalam keluarga Volkswagen.
Passat ialah kereta keluarga yang dibina dalam pelbagai varian sejak 1973. Dalam rangkaian model keluaran Volkswagen sekarang, Passat terletak dalam segmen antara Golf dan Phaeton.
Dikenali dengan nama Passat di pasaran Eropah dan America Utara, ia juga dikenali dengan pelbagai nama lain seperti Dasher, Santana, Quantum, Magotan dan Corsar di sebahagian pasaran lain.
Generasi pertama Passat adalah kereta keluarga yang kompak dan kecil, namun mulai generasi kedua, ia dihasilkan dengan saiz yang lebih besar hingga kini dikategorikan sebagai kereta keluarga saiz sederhana atau besar.
Reka bentuk yang kontemporari dan saling mengikut perubahan semasa menjadikan Passat terpenting dalam rangkaian model Volkswagen dan mula mengukuhkan statusnya sebagai sedan kelas mewah.
Malah, Passat yang kini memasuki generasi VI, semakin luas dibandingkan dengan pendahulunya.
Passat mewakili yang baru, tetapi yang lama tetap di hati. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kereta klasik, yang sangat popular suatu ketika dulu, dihadirkan kembali dalam bentuk baru tetapi tetap mengacu pada bentuk asalnya.
Walaupun bentuknya tidak persis sama, tetapi reka bentuk barunya tetap mengingatkan kita kepada yang asal.
Begitu juga Beetle, dihadirkan kembali dengan nama New Beetle, yang mana prototaipnya diperkenalkan di Detroit Motor Show 1994 menggunakan nama Concept 1.
Mirip dengan model terdahulu badan cembung, lampu depan bulat, serta sentuhan ‘futuristik’ di sana-sini sangat menarik perhatian.
Tahun 1996, nama Concept 1 diganti dengan New Beetle dan dua tahun kemudian ia mula dikeluarkan secara komersial.
Menerusi New Beetle, Volkswagen ingin membangkitkan kembali kenangan kepada Beetle – walaupun enjinnya tidak lagi di belakang. Biar apa pun alasannya, Volkswagen tetap memiliki karektor tersendiri.
Volkswagen sinonim dengan kualiti dan inovasi teknologi yang terus mempunyai pengikut setianya sampai hari ini.
No comments:
Post a Comment