Friday, September 14, 2007

TREND BERBUKA POSA DI HOTEL

INI BERITA TERBARU SILA BACA......berita dari mstar



Berbuka puasa di hotel melanggar syarak?

Amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah yang merupakan satu gaya baru bagi warga kota merupakan satu pembaziran yang bercanggah dengan syarak, kata beberapa ahli agama.
Bagi Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, jika seseorang itu berbuka puasa di hotel dengan tujuan untuk kemegahan dan menunjuk-nunjuk, ia diharamkan.
"Hukum itu juga termasuk pihak yang membuat jamuan berbuka puasa dengan tujuan untuk membangga diri," katanya kepada Bernama di sini hari ini. [Lihat: MINDA MUFTI: Adab-Adab berbuka puasa menurut Sunnah ]
Bagaimanapun bagi mereka yang berbuka di hotel untuk menjamu keluarga dan merasai makanan enak, ia diizinkan asalkan tidak melampaui batas, katanya.
Sementara tokoh agama Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz berkata amalan itu amat tidak digalakkan kerana bulan Ramadan bukan pesta makanan yang membazir tetapi ia bulan berjimat-cermat.
Abu Hassan berkata amalan itu jelas bercanggah dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud "apabila salah seorang daripada kamu hendak berbuka puasa, hendaklah ia berbuka puasa dengan beberapa biji buah tamar. Jika kamu tidak mendapati buah tamar, maka hendaklah berbuka dengan air."
Hadis itu menunjukkan gaya berbuka puasa di hotel pada zaman kini tidak selaras dengan tuntutan Islam, malah boleh menimbulkan perasaan riak di kalangan mereka, katanya.
Katanya, selain harga berbuka puasa di hotel yang tinggi, pengambilan makanan yang berlebihan boleh menyebabkan seseorang itu letih untuk beribadat.
"Bagi golongan berkemampuan yang selalu berbuka di hotel dan restoran mewah, ia bercanggah dengan syarak kerana tuntutan puasa ialah untuk menimbulkan keinsafan dan merasai nikmat kesusahan," katanya.
Abu Hassan berkata adalah baik jika pembaziran kos berbuka puasa di hotel yang tinggi itu dijimatkan dengan membeli makanan atau memasak sendiri, dan wang yang dijimat itu boleh disalurkan membantu orang susah berbuka puasa.
Mufti Perak Datuk Seri Dr Harussani Zakaria pula berpendapat berbuka puasa di mana-mana tempat dibenarkan asalkan halal.
Walaupun begitu beliau menasihatkan dalam berbuka puasa, empat perkara tidak patut berlaku iaitu membazir, meninggalkan solat Maghrib ketika berbuka puasa, pencampuran bukan muhrim dalam satu meja dan tidak menutup aurat.
"Pembaziran adalah maksiat, ia boleh berlaku sama ada berbuka di hotel ataupun di rumah," katanya. BERNAMABerita berkaitan:MINDA MUFTI: Adab-Adab berbuka puasa menurut Sunnah

No comments: