Friday, June 6, 2008

KENYATAAN DATO' MUKHRIZ TUN M

Kenyataan media Dato’ Mukhriz Mahathir mengenai pengumuman kenaikan harga runcit petrol
KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN JERLUN DAN EXCO PEMUDA UMNO MALAYSIA YB DATO’ MUKHRIZ MAHATHIR
Saya rasa terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kenaikan harga minyak mendadak dan tanpa amaran semalam, sedangkan kenyataan yang dibuat di dalam media massa hanya pada pagi kelmarin memberi amaran bahawa kenaikan tersebut hanya akan berlaku pada bulan Ogos.
Pada pendapat saya, kita mesti mengambil tindakan yang bijak dalam mengimbangi keperluan rakyat dan kos harga minyak yang semakin naik. Kita perlulah mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencapai satu formula perlaksanaan yang sesuai buat semua orang; dan bukan secara terburu-buru.
Pada hemat saya, masanya amatlah tidak sesuai untuk tindakan ini diambil dengan cara ini, walaupun kita sedar masalah minyak global harus ditangani diperingkat negara juga..
Saya kira, lebih wajar kenaikan ini dibuat secara berperingkat mengikut jadual yang diumumkan terlebih dahulu, untuk mengelakan ketidak tentuan dan keresahan, seperti mana yang berlaku sekarang ini. Rakyat perlu masa dan peluang untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan yang begitu tinggi. Seperti yang kita lihat, keputusan ini telah memberikan kesan yang negatif kepada rakyat. Golongan peniaga dan pedagang pula mengalami ketidak ketentuan yang merumitkan perancangan untuk perbelanjaan perniagaan mereka.
Kerajaan tidak harus mengunakan alasan masalah ini ialah masalah global kerana setiap negara mempunyai situasi dan keadaan berbeza. Apa yang berjaya ditempat lain, tidak semestinya berjaya untuk sistem kita. Kita mempunyai masalah dan cara penyelesaian kita sendiri. Sebagai contohnya, sewaktu Malaysia mengumumkan kawalan matawang dan modal serta Ringgit Malaysia ditetapkan nilai (peg) kepada US Dollar pada 3 September 1998, tindakan itu dikecam pelbagai pihak diperingkat dalam negara dan antarabangsa kerana dianggap tidak konvensyenal. Akhirnya, ianya terbukti berjaya menyelesaikan masalah krisis ekonomi negara, dan Malaysia sebaliknya menerima pelbagai pujian dan pengiktirafan kepada tindakan di’luar kotak’ tersebut.
Saya juga terkilan dengan kenyataan YAB Perdana Menteri sebelum ini menggesa rakyat untuk menyesuaikan diri dengan cara hidup berbeza sebagai reaksi kepada kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang meningkat. Rata rata, rakyat dipendalaman, termasuk kawasan Jerlun yang saya wakili, menyara hidup secara ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sejauh mana lagi mereka perlu menyesuaikan diri, setelah meningkatnya kos sara hidup pada tahap terlalu membebankan kepada golongan ini.

No comments: