Saturday, November 29, 2008

PPSMI ERA KEMATIAN BAHASA MELAYU

PPSMI era kematian bahasa Melayu
Oleh Salbiah Ani
PENGAJARAN dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) akan mengakibatkan bahasa Melayu mati di negara yang mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara meskipun ia dilindungi oleh pelbagai akta dalam Perlembagaan Persekutuan. Timbalan Presiden, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, demi masa depan bahasa Melayu yang sudah digunakan sejak 1972 hingga 2002 di sekolah rendah sehingga ke universiti pada semua peringkat, ia perlu diselamatkan segera. “Bila semua mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan teknologi diajar dalam bahasa Inggeris, maka ia adalah saat kematian pada bahasa Melayu dan pemimpin perlu tengok bahaya daripada dasar PPSMI. Pemimpin Melayu perlu ingat perkara ini kerana bukan pelajar saja yang teraniaya.
“Justeru PLM menyokong keputusan Pena agar PPSMI dirujuk kepada Sultan dan cadangan Yayasan Karyawan agar isu itu dibawa pada Perhimpunan Agung Umno Mac 2009, malahan pada Majlis Raja-raja Melayu,” katanya ketika menghubungi Sastera. Beliau yakin bahawa langkah terbabit perlu kerana hampir semua pemimpin Melayu tidak peduli pada kematian bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi sedangkan penggunaannya sudah terbukti tidak menyekat sesetengah kursus di universiti awam mendapat pengiktirafan antarabangsa. “Saya masih ingat lagi Ijazah Pergigian di Universiti Malaya (UM) mendapat pengiktirafan badan antarabangsa di United Kingdom pada zaman UM diterajui Prof Datuk Dr Hashim Yaacob dan ini adalah pengiktirafan kepada bahasa Melayu juga,” katanya.



Kementerian Pelajaran diingatkan agar tidak tenggelam dalam hasil ‘kajian’ ala pembesar lewat cerita Maharaja dengan Baju Baru yang memberi kata-kata muluk bagi menyedapkan hati pemimpin sehingga sanggup membiarkan orang atasan mereka berbogel di khalayak ramai. Apa juga keputusan UPSR 2008, hakikatnya dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris digunakan untuk PPSMI oleh sesetengah guru khususnya di sekolah kawasan pinggir dan luar bandar kerana mereka sendiri tidak mampu mengajar dalam bahasa Inggeris. PLM berharap pemimpin peka dengan kematian bahasa Melayu kerana hakikatnya bahasa terbabit sudah digunakan sejak 30 tahun lalu dan ia seiring dengan usaha penciptaan istilah baru dalam pelbagai bidang ilmu yang diamanahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).



Malah, penciptaan istilah baru ini perlu ditingkatkan lagi dan jika tidak digunakan dalam pengajaran, maka tiada keperluan untuk badan berkanun terbabit untuk mencipta dan menerbitkan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu seperti ditangani DBP dan Penerbit Universiti “Untuk benar-benar memperkasakan bahasa Melayu, kita perlu guna bahasa ini dalam semua bidang ilmu. Rujuk kepada teras satu, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di institut pengajian tinggi dalam usaha membina negara bangsa iaitu bangsa Malaysia dan negara Malaysia. “Ia mesti berteraskan bahasa kebangsaan sebagai jati diri negara dan tiada bahasa lain yang boleh mengambil alih teras kepada bangsa di Malaysia. PLM tidak menolak pembelajaran bahasa asing dan berasa kesal serta sedih dengan sikap pemimpin Melayu berdolak-dalik,” tegasnya. PLM kesal banyak pemimpin Melayu yang tidak bersedia memenuhi permintaan majoriti berhubung perkara ini demi menyelamatkan kedudukan politik peribadi dan bukan bangsa demi bangsa mahupun bahasa Melayu. “Ini bukan soal emosi. Ini soal jati diri, teras dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks lebih luas. PPSMI akan mengakibatkan bahasa itu terus digunakan di IPT dan ini mengakibatkan bahas Melayu akan terpinggir,” katanya.


Pandangan Tun Dr Mahathir berhubung PPSMI selepas Wacana Dilema Melayu Sabtu lalu, disifatkan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia, Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan, sebagai hujah yang tergelincir daripada hakikat. “Ketika Tun Mahathir membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat bagi menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu,” katanya yang mengulas perkara itu melalui kiriman e-mel kepada Sastera.


Prof Awang mengingatkan Tun Mahathir bahawa negara sebenarnya sudah melahirkan ribuan sarjana berwibawa dalam bidang sains dan teknologi selain bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu. “Adakah Tun Mahathir bermaksud Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka adalah dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan keputusan bersifat ad hoc?” soalnya. Prof Awang berkata, bahasa Inggeris asalnya hanya bahasa vernakular, bukan diturunkan dari langit sedia sempurna dan sebelum menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin serta Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang mahupun ekonomi. “Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi.



Amat malang apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi. “Kita sekadar berpuas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Tun Mahathir mengenai kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris,” ujarnya.
dipetik dari bharian 29/11/08


1 comment:

Awang Kata said...

Soal kelangsungan Melayu tidak dapat tidak bahasa Melayu mesti dimajukan. Bukan soalnya lagi boleh menguasai bahasa, prestasi bandar luar bandar,atau dah banyak kos dikeluarkan. Ini soal kemajuan atau kelangsungan bahasa bangsa negara. Bahasa Melayu bukan untuk sekadar 'boleh bercakap' seperti kata Mahathir, tetapi bagaimana dengan 'kitab-kitab Melayu'.