Thursday, December 28, 2017

MEMOIR SEORANG PESARA...NO. 89....NOVEL PERTAMA RENTONG OLEH SHAHNON AHMAD




Novel pertamanya Rentong
Sambil berkenalan dengan bapa cikgu Shahnon
Haji Ahmad bin Haji Abu Bakar atau gelaran sehariannya Pak Mat adalah berasal dari Medan, Sumatera dan telah meninggal dunia pada tahun 1981.Nama asalnya Mohamad Nasharuddin. Waktu muda, Haji Ahmad telah mengembara dari tempat asalnya dan berkahwin dengan ibu Shahnon serta menetap di Sik. Pada mulanya, dia bekerja di Jabatan Ukur dan kemudian menjadi posmen. Pada masa Perang Dunia Kedua, dia menjadi perisikkepada pihak British bagi mencari maklumat-maklumat rahsia tentang gerakan-gerakan pihak Jepun. Sesuai dengan tugasnya sebagai posmen, dia bebas masuk ke kubu-kubu[1] tentera Jepun untuk membantu pihak British ketika itu. Kubu-kubu pihak Jepun ketika itu terletak di Gurun dan Guar Chempedak.
Sebagai orang yang agak berpelajaran, Haji Ahmad sedar akan kepentingan menyekolahkan anak-anaknya. Haji Ahmad adalah golongan yang berpendidikan kerana telah banyak merantau sebelum sampai dan bermastautin di kampong tersebut. Justeru itu, Shahnon Ahmad mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sik pada tahun 1941. Tindakan menyekolahkan kedua-dua[2] anaknya ke sekolah Inggeris di Alor Setar yang jauhnya 72 kilometer dari kampungnya telah dipandang serong oleh orang-orang kampung. Mereka menganggap perbuatannya itu agak luar biasa kerana sebelum ini belum ada lagi orang yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris. Biasanya, seseorang anak di Kampung Banggul Derdap yang tamat sekolah Melayu akan diserah untuk melanjutkan pelajaran di sekolah agama pondok[3].
Pak Mat menggunakan wang hadiah perkhidmatannya yang diterima daripada kerajaaan British untuk perbelanjaan sekolah kedua-dua orang anaknya. Ini kerana apabila pihak Inggeris berkuasa semula pada tahun 1945, telah menawarkan wang hadiah kepadanya atas perkhidmatannya sebagai perisik. Oleh kerana dia tidak mampu menyediakan wang untuk anak-anak bersekolah di luar daerah, Pak Mat mahukan wang hadiah itu ditukar dalam bentuk biasiswa untuk anak-anaknya. Dia berjaya dalam permohonan itu dan kedua-dua orang anaknya merupakan anak Kampung Banggul Derdap yang pertama sekali mendapat pendidikan Inggeris. Pak Mat meninggal dunia pada 1981.

No comments: