KUALA LUMPUR: Negara hari ini kehilangan tokoh yang banyak memberi sumbangan kepada kesusasteraan negara apabila Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dato' Shahnon Ahmad meninggal dunia pada usia 84 tahun di Hospital KPJ, Kajang, pagi tadi.
Anak bongsunya, Asrulsani Shahnon berkata, bapanya yang sudah hampir enam bulan tinggal bersamanya di Bandar Baru Bangi, meninggal dunia akibat paru-paru berair kira-kira jam 7.30 pagi.
"Bapa saya dimasukkan ke Hospital KPJ, Kajang sejak beberapa hari lalu dan jenazahnya akan diuruskan di Surau Madani Seksyen 3, Bandar Baru Bangi pada selepas Zuhur sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Sungai Tangkas untuk dikebumikan," katanya ketika dihubungi.
Shahnon yang dilahirkan di Sik, Kedah, meninggalkan isterinya, Datin Wan Fatimah Wan Salleh serta empat orang anak.
Shahnon bukanlah satu sosok biasa kerana ketokohannya tidak hanya diperlihatkan dalam bidang kesusasteraan malah turut terpamer sebagai seorang ahli akademik hingga melangkaui kepada arena politik negara.
Shahnon yang disebut sebagai identiti dunia kesusasteraan Melayu moden dan bahasa Melayu menjadi penerima kedua penobatan Anugerah Sastera Negara (ASN), iaitu pengiktirafan sastera tertinggi dalam negara yang membawa gelaran SN pada tahun 1982.
Ketokohannya menyebabkan Shahnon disamakan dengan penulis barat paling berpengaruh abad ke-19, Victor Hugo, pada penganugerahan ASN itu.
Sebagai pengarang, Shahnon kritis dan lantang dalam memaparkan pemikirannya melalui karya yang tidak sekadar mengungkapkan perihal kehidupan masyarakat kota dan mereka di desa tetapi rencam dengan perihal kehidupan serta sosio ekonomi orang Melayu hingga mencakupi kepada isu politik dan agama.
Kewibawaannya sebagai seorang novelis tidak dapat disangkal dengan kelahiran pelbagai karya daripada Rentung yang diterbitkan pada 1965, Menteri (1967), Srengenge (1973), Seluang Menodak Baung (1978), Tunggul-Tunggul Gerigis (1988), Tivi (1995) dan Igauan Dan Cerita-Cerita Lain (1996).
Novel Ranjau Sepanjang Jalan yang diterbitkan pada tahun 1966 menandakan puncak kejayaan Shahnon dalam penulisan malah novel itu bukan saja diterjemah ke bahasa Inggeris dengan judul No Harvest But A Thorn malah ia juga turut dipilih The Sydney Morning Herald sebagai satu antara 10 novel yang terpenting bagi tahun 1972.
Shahnon terampil sebagai seorang yang tersendiri, pemikir serta pengkritik yang kritis. Uniknya, beliau bukan saja memiliki perspektif terhadap karya penulis sezamannya malah pada karya beliau sendiri.
Buktinya, Shahnon tidak malu menolak Ranjau Sepanjang Jalan selepas ramai pengulas sastera beranggapan novel itu menyimpang daripada nilai Islam.
Sebagai seorang sarjana, Shahnon juga merakam sejarah tersendiri apabila beliau menjadi ahli akademik pertama negara yang diberi gelaran Prof Emeritus pada 1993.
Tidak sekadar menggoncang dunia sastera dan menonjolkan sumbangan tersendiri dalam dunia akademik, Shahnon juga mula diberi perhatian mereka di luar lingkungan sastera apabila menghasilkan novel satira politik, Shit.
Novel yang diterbitkan pada tahun 1999 itu memaparkan ketahanannya yang tersendiri ketika politik negara berkecamuk dengan aliran pemikiran dua tokoh pemimpin kanan negara pada ketika itu.
Tidak hanya menjadi pengarang paling banyak dihimpit kontroversi, Shahnon juga berkebolehan dalam politik dan pembabitannya dalam dunia siasah menyaksikan beliau pernah menyertai PAS bertanding dan kemudian memenangi pilihan raya kawasan Parlimen Sik.
1121 dibaca
No comments:
Post a Comment