12 Malam , terpacak di jam dinding ku . Sunyi sepi menyelubongi malam . Sunyi sepi di sekeliling rumahku . Sepi sesepinya . Sekali-sekala terdengar kuang di rimba . Membelah kesunyian malam . Titik-titik embun jantan mula terdengar terjun di bumbong rumah ku . Cicak jantan galak berbunyi di halang rumah , menggamit si betina yang mendakap jenang tingkap . Malam berlalu tanpa hentinya , detik demi detik bergerak seiring dengan perjalanan jarum jam . Malam bertambah tua . Begitu juga aku dan isteri ku juga bertambah usia tua . Itulah perjalanan hidup ini , dari muda dah jadi tua . Orang tua , gigi dah jarang , rambut dah memutih .
Begitu jugalah kemerdekaan tanahair kita , dah sampai ke tangga 50 . Dah lama . Pokok durian yang ku tanam pun dah berbuah semuanya . Pokok getah yang orang tua ku tinggal pun dah di tanam semula . Bendang yang dulu subur pun dah tinggal arwah . Kesemuanya di kambus jadi bandar baru . Dah hilang identiti bendangnya . Bendang yang dipugar orang2 dulu , dengan segala susah-payah . Dah mampuih habis segala belalangnya , lintahnya , pacatnya , haruannya , kelinya , cacingnya . Mampuih habis segala keladi agasnya , segala rumput janggut kelinya , sebutkan saja , habis semua dah mampuih . Yang hidup cuma bandar baru . Ada kedai runcit , ada klinik , ada kedai komputer , ada kedai farmasi , ada restoran dari angkasa lepas ( APOLLO restoran ) , ada pejabat koperasi , ada kedai peladang , ada bangunan Tabung Haji , ada kedai fesyen dan kecantikan . Serba mak-nenek ada . Kedai jual nombor ekor ( cara sulit ) pun ada . Nasib baik tak dak nite-club dan suku-sakat maksiatnya yang lain . Yang menjual maruah diri dan sebagainya . Alhamdulillah tak ada . Kalau ada sapa nak tanggung dosa ? DO ke ? Penghulu ke ? Yang Berhormat ke ? . Semua akan menanggong dosa .
Bila dah tua macam aku ni kena banyak muhasabah diri . Hari esok belum tentu akan tiba . Mati sudah pasti . Hukum wajib . Kalau gatai di dunia , garulah di dalam kubur .
Mata ku belum boleh lagi lena , mulutku berkumat-kamit berzikir tentang kebesaran Allah . Memunafaatkan masa , supaya tidak rugi . Kemudian aku buka radio yang reada di sisi ku . Ku tune kat Kedah FM 105.1 . Dengar celoteh DJ Kedah . Penuh lucu dengan berbagai isu . Di selang-seli dengan lagu thai . Juga dapat nasihat tentang kesihatan dan memajukan ekonomi . Bualan DJ dengan pendengar2 yang dipanggil dari Baling dan jauh di Pulau Langkawi , cukup mencuit hati . Masing2 seronok Kedah menang bola , menewaskan My-Team 3-0 .
Aku bimbang kalau Kedah menang . Musim Liga Malaysia tahun 90an dulu , Kedah dah beberapa kali jadi johan . Banyak penyokong Kedah maut di jalanraya , masa jalan pulang . Salah seorangnya ialah anak penakan ku . Masa tu hero Kedah ialah Radzi Md.Din dan Adigun . Siaran cara lansung gamat bila Pak Din jadi komentator . Tapi Pak Din Dah sebulan kembali ke rahmatullah . Pak Din DJ terunggul . Semua kenal dia dari kanak2 hingga keorang dewasa . Bulan di luar rumahku terang benderang . Kalau aku jadi DJ sudah tentu aku pasang lagu keroncong . Syok dengar keroncong di malam bulan terang benderang . Dato' Wan pun syok lagu keroncong ni . Tak caya , pi tanya Dato' sendiri . Mampuih hangpa tak berani pi tanya Dato' .
Bini ku dah lama berdengkor . Tadi dia penat melayani cucu-cucu kami . Semua lelaki . Tu yang jadi terok tu . Cucu pompuan tak banyak kerenah sangat . Malam sesunyi ni memang syok menulis . Idea mai tak henti2 , lepas satu mai tiga . Tak boleh layan sangat , nanti terok badan ku berjaga malam . Nak kena pi tidor juga .
Semasa aku di asrama dulu , sebelum tidor kami semua kena ucapkan ' Good-nite , everybody ' secara serentak . Kemudian semua lampu dipadamkan . Setengah jam kemudian guru pengawas akan buat checking semua katil tidor . Nak pasti semua dah tidor . Bimbang ada yang lari keluar ke pekan . Kawan ku berjaya menipu dengan membungkus bantal dakap . Dibuat macam lembaga sedang tidor . Very kreatif dan innovatif . Hingga hari ni masih ada pelajar yang ikut cara tu .
Malam pun dah merasai kedinginannya . Malam menjadi bertambah malam . Mata ku pun dah mula lesu . Ku membawa diriku merebah di katil . Ku berdoa ini bukanlah tidor terakhir ku di dunia ini . Kita tak tau ajal kita . Ia rahsia Allah untuk menguji kita . Untuk menguji taraf ketaqwaan kita . Untuk menguji iman kita . Untuk menguji taraf kehambaan kita . Untuk menguji setakat mana kita cintakan dunia . Untuk menguji kepercayaan kita terhadap perkara2 yang ghaib .
Good-nite ,everybody , till we meet again .
ALLAHUAKBAR
No comments:
Post a Comment