Tuesday, July 24, 2007

TANDA-TANDA PENYAKIT NYANYUK

( di petik dari berita kesihatan)
Sukar bau tanda awal nyanyuk
Kajian bertujuan tentukan individu berisiko hidap penyakit otak
Satu kajian terbaru penyelidik Amerika Syarikat mendakwa masalah kesukaran mengenal pasti bau biasa seperti limau nipis, pisang dan kulit kayu manis mungkin petanda pertama penyakit Alzheimer.
Kajian membabitkan ujian kaedah ‘cakar-dan-bau’ itu bertujuan menentukan sama ada seseorang itu berisiko menghidap penyakit otak berkenaan.
Ujian seumpama itu adalah penting jika saintis menemui cara untuk melambatkan atau menghentikan Alzheimer - sejenis penyakit yang menyebabkan kehilangan daya ingatan serius.
Buat masa ini, tiada penawar untuk lebih lima juta penduduk Amerika yang menghidap Alzheimer.
Penyelidik sudah lama mengetahui bahawa perubahan mikrokospik yang dianggap petanda Alzheimer mula muncul di bahagian otak yang penting untuk deria hidu.
“Berdasarkan anatomi, ini memang masuk akal,” kata pakar pemerhatian bau dan otak di Universiti Cincinnati, Robert Franks. Dia, bagaimanapun tidak terbabit dalam kajian baru yang disiarkan dalam Arkib Psikiatri Umum.
Kajian lain mengaitkan kehilangan deria hidu dengan Alzheimer, kata Franks, tetapi ini kali pertama mengukur keupayaan menghidu orang sihat dan mengawasi mereka selama lima tahun, menguji petanda penurunan mental.
Dalam kajian, lebih 500 peserta antara 54 dan 100 tahun diminta mengenal pasti bau biasa: bawang, limau nipis, kulit kayu manis, lada hitam, coklat, bunga mawar, pisang, nanas, sabun, penanggal cat, minyak tanah dan asap.
Bagi setiap wangian misteri, mereka mendengar dan melihat pilihan empat jawapan.
Bagi kulit kayu manis, mereka ditanya dengan kuat: “Buah? Kulit Kayu Manis? Kayu? Atau Kelapa?” sambil turut melihat pilihan dalam teks.
Satu perempat peserta dapat mengenal pasti semua bau dengan tepat atau cuma satu jawapan salah.
Separuh mengetahui sekurang-kurangnya sembilan daripada 12 bahan itu dan tidak sampai satu perempat mengenal pasti lapan atau kurang bau itu secara tepat.
Subjek mengambil 21 ujian kognitif setiap tahun selama lima tahun selanjutnya.
Kira-kira satu pertiga daripada mereka menunjukkan sekurang-kurangnya masalah kecil dengan ingatan dan pemikiran.
Peserta yang melakukan sekurang-kurangnya empat kesalahan dalam mengenal pasti bau mempunyai risiko sehingga separuh untuk mengalami masalah daya ingatan lemah berbanding mereka yang tidak melakukan atau cuma membuat satu kesilapan.
Penyelidik Alzheimer di Universiti San Diego, Clair Murphy, berkata warga tua patut melaporkan masalah kehilangan deria bau kepada doktor mereka kerana ia cuma mungkin disebabkan lendir di dalam hidung atau jangkitan.

No comments: